Thursday, December 25, 2008

Aku, Linda & Shida

6206........Di bilik inilah aku temui mereka semasa aku menuntut di UiTM Sarawak. Tak sangka mereka ini masih menjadi sahabat setia aku sehingga sekarang! Semuanya telah mendirikan rumahtangga. Sewaktu di universiti, kami begitu rapat. Masing-masing ada keistimewaan tersendiri. Merekalah yang memberikan kekuatan & semangat kepada ku. Terlalu banyak tanggungjawab yang terpaksa dipikul sewaktu di universiti menyebabkan aku tidak dapat menghabiskan masa terluang bersama mereka. Tapi apa yang aku banggakan mereka adalah sahabat sejati. Walau macam manapun aku garang & tekanan yang dilalui sewaktu dulu, mereka tetap tidak menjauhkan diri dari aku malah mereka tetap bersama aku. TERIMA KASIH SAHABAT-SAHABATKU....

Dan kini, bila aku teringatkan mereka....aku tersenyum sendirian. Mengingati semula peristiwa suka duka yang kami tempuhi bersama aku tertawa sendirian. Ingin ku kongsikan mengenai 2 orang sahabatku......Linda, berdarah campuran India & Melayu berasal dari Selangor dan Shida berasal dari Johor. Tiada jurang antara kami, kami bertiga diibaratkan seperti sebuah keluarga. Kami sering berkongsi cerita sehingga kini dan ku sedar kiranya dalam sebuah persahabatan itu disirami dengan keikhlasan & kejujuran sememangnya persahabatan itu berpanjangan dan tidak mustahil ia akan kekal selama-lamanya. InsyaAllah....

Kepada sahabat-sahabatku, aku amat menyayangi kalian...kamu semua sahabat yang terlalu baik buat diriku. Aku doakan agar Linda & Shida sentiasa bahagia dan berjaya dalam kehidupan masing-masing. Walaupun kita cuma berpisah dek jarak dan waktu....tapi persahabatan kita ini biarlah kekal selamanya. Segala kenangan kita di universiti dulu biarlah menjadi satu kenangan yang terindah dalam hidup....TERIMA KASIH .... AKU AMAT MENYAYANGI KALIAN!

Wednesday, December 24, 2008

Jari-jemarimu

jari-jemari mu yang kasar itu,
sentiasa mengusap pipiku,
jari-jemari mu yang kasar itu,
sentiasa membelai rambutku,
jari-jemari mu yang kasar itu,
sentiasa menyentuh kulitku,
jari-jemari mu yang kasar itu,
sentiasa menyuap makanan ke mulutku,

jari-jemarimu yang kasar itu,
sentiasa ku genggam,
jari-jemarimu yang kasar itu,
sentiasa ku cium,

jari-jemarimu yang kasar itu,
kini tiada lagi,
jari-jemarimu yang kasar itu,
telah bersemadi,

jari-jemarimu yang kasar itu,
semakin aku rindu,
jari-jemarimu yang kasar itu,
telah hilang dari pandanganku
jari-jemarimu yang kasar itu,
akan ku ingati hanya dalam mimpiku
dan setiap hari aku merindui jari-jemari suamiku
kerna jari-jemari mu pernah menyarungkan cincin ke jariku......

Jee...21.01.08

Luahan Hati ..... Ingatan Di Atas Kepergiannya

Ku cari damai abadi tanpa seorang suami di sisi,
Seorang suami yang mencurahkan isi hatinya tanpa mengenal saat dan ketika,
seorang suami yang sentiasa memberi bimbingan dan panduan agama,
seorang suami yang sentiasa tersenyum dan tertawa,
seorang suami yang mengajar aku kedewasaan dan erti kesusahan,
seorang suami yang menenangkan aku ketika berduka,
aku bersamanya tidak kira tempat dan masa,
saat dia dihina dan dicaci aku bangga bersamanya,
saat dia berduka lara aku bangga bersamanya,
saat dia berusaha tanpa mengenal erti keperitan aku bangga bersamanya,
saat dia menangis aku tetap bangga bersamanya,
tiada istilah kekayaan dan kemasyhuran dalam cinta kami,
tapi kesederhanaan itulah yang kami miliki,
kerna bukan kemewahan yang dicari tapi nilai kasih sayang & cinta sejati,
ku terima dirinya kerana kesederhanaannya dan kejujurannya,
kasih sayangnya pada aku tiada penghujungnya hingga ke akhir hayatnya,
setiap waktu bersamanya adalah sesuatu yang paling berharga kerana
dialah anugerah Allah yang istimewa kepada diriku
dan aku bersyukur kerana dapat kenal dan hidup bersamanya walau pun sekejap sahaja.
ku bawa hati ini,
mencari ketenangan diri,
kepada Mu Yang Rabbi,
Kaulah Yang Maha Esa
Yang Tahu Segalanya
Setiap yang terjadi adalah ketentuanNya
pahit getir harus ku harungi
yang aku sendiri tidak tahu apa yang terjadi di esok hari,
apakah dugaan dan cabaran ini berterusan hingga aku menutup mata,
Sesungguhnya Engkaulah Yang Tahu Segala-galanya.........
bukan niatku untuk bangga diri.....tapi untuk berkongsi rasa setelah kehilangan orang yang dicintai.
Luahan hati dari seorang isteri.......Jee.

Satu Kedamaian


Pada hujung bulan Oktober lalu, ku tinggalkan sebentar kampung halamanku............
Apa yang ku cari....satu kedamaian! Setelah sekian lama aku memendam rasa di samping tekanan kerja yang meluap-luap...jiwaku begitu tertekan. Mindaku berkata: Berhenti sekejap...kami perlu rehat.

Hari Raya Aidil Fitri lalu.... ku sambut dengan penuh tangisan dan kepiluan. Inilah hari raya pertamaku tanpa orang yang aku sayang. Selepas Aidil Fitri berlalu....aku mengambil keputusan untuk merehatkan mindaku. Aku memohon izin kedua orang tuaku. Mereka bersetuju, tapi mereka bimbang akan keselamatanku. Ibu saudaraku telah kubawa bersama bagi menghibur hatiku. Destinasi pilihanku ialah Pulau Lagenda, Langkawi. Tanpa berlengah....aku menempah penerbangan dari Kelantan - Pulau Pinang - Langkawi menaiki Firefly. Mujurlah syarikat ini mempunyai pakej percutian lengkap bersama hotel. Pada ketika itu aku tidak fikirkan berapa wang yang akan ku habiskan sepanjang percutian.....tapi yang ku inginkan saat itu adalah "SATU KEDAMAIAN". Aku ingin melupakan seketika bebanan kerja ku serta tekanan hidupku.

Sehari sebelum aku ke Langkawi, aku dikejutkan dengan kematian sepupuku, Kak Lini. Jarak usia kami amat dekat, dia hanya tua 4 tahun dari ku. Aku terpana seketika, malam itu juga bapaku bersama adik-adiknya ke Kuala Lumpur. Apa yang harus ku lakukan......aku akan ke Langkawi lusa....bagaimana harus ku tinggalkan ibuku & adikku kerna di waktu itu ada satu peristiwa dalam kehidupan kami sekeluarga telah berlaku. Kesian ibuku.....aku cuba bertenang......disamping memberi ketenangan kepada ibu kesayanganku. Pada mulanya ku fikir untuk membatalkan percutianku....aku lebih mementingkan keselamatan ibuku. Kiranya ku batalkan cutiku itu, segala-galanya akan berlalu begitu sahaja. Tempahan yang telah dibuat tidak akan dipulangkan semula. Aku berbincang dengan ibuku....lantas ibu memujukku pula untuk meneruskan hasratku.

Alhamdulillah....hari yang ditunggu telah tiba, aku telah meminta pertolongan pemandu bossku untuk menjemput kami di rumah kerna bapaku masih lagi di Kuala Lumpur. Aku hanya berdoa supaya Allah mempermudahkan perjalananku serta melindungi ibu & adikku di rumah. Aku memulakan perjalanan aku dengan dukacita ...... fikiranku melayang-layang mengingati nasib kami sekeluarga. Beratnya DUGAAN ALLAH tika itu. Aku tiba di Pulau Pinang & dijemput oleh isteri abang iparku. Destinasi pertamaku ialah Mutiara Al-Hasa ..tempat perniagaan arwah suamiku. Aku paksa kakiku untuk melangkah masuk ke Mutiara.....bayangan aku ketika itu ialah arwah suamiku. Di situlah tempat aku menunggu arwah selepas waktu kerjaku. Itulah rutinku setiap hari. Tidak lama di Mutiara, aku meminjam kereta abang iparku...ku bawa ibu saudaraku berjalan-jalan di sekitar Esplanade dan aku menjemput teman-teman ofis lama ku di Mahkamah Pulau Pinang untuk makan tengahari. Ku bawa mereka ke Astaka Tanjong Bungah dan kami menikmati char koay teow & nasi ayam. Ku gagahi untuk menyuap makanan ke mulutku.

Tepat jam 6.00 petang aku telah tiba airport Pulau Pinang dan tiba di Langkawi tepat jam 8.30 malam. Selama beberapa hari di sana, aku tinggal di Bayview Hotel dan telah menyewa kereta untuk memudahkan pergerakanku. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar...begitu juga dengan ibu saudaraku yang begitu senang sekali di sana. Di Langkawi juga aku menemui teman lamaku Kak Fina bersama keluarganya...sehari sebelum aku pulang ke kampung halaman dia telah membawa aku mengelilingi Pulau Langkawi... di situlah aku mengambil kesempatan mengambil gambar-gambar keindahan pulau lagenda ini....kerana bagi diriku satu kenikmatan yang amat hebat bila dapat mengambil foto-foto keindahan alam di samping memberi ketenangan pada jiwa. Sebahagian gambar-gambar itu telah ku kumpulkan di dalam satu album yang dinamakan "Precious Moment" di dalam facebook ku. Melihat keindahan alam ini membuktikan bahawa ALLAH MAHA KAYA LAGI MAHA ESA, SATU PENCIPTAAN YANG MAHA AGUNG, DAN SEGALA-GALANYA DI ALAM INI ADALAH HAK MILIK MUTLAK DARI ILAHI.......

Kisah Seorang Kenalan

Aku mengenali lelaki ini melalui facebook...... mulanya aku takut untuk mengenali lelaki ini! Apabila kami mula mengenali aku rasakan keserasian antara kami. Cerita-cerita kami hanya berkisarkan pengalaman hidup dan kisah rumahtangga. Di sebalik cerita lelaki ini ternyata dia bahagia dengan rumahtangganya...aku tumpang gembira dan lelaki ini begitu jujur dalam perkahwinannya.

Ternyata dia seorang yang berjaya dalam kehidupannya...mempunyai sebuah keluarga yang bahagia dan menjadi seseorang yang tinggi pangkatnya di usia muda. Dia banyak menasihati aku mengenai kehidupan. Aku ceritakan kisah hidupku padanya...dan dia telah menyedarkan kepada aku supaya jangan menoleh kebelakang lagi...lakukan untuk masa depanku...fikirkan dan rancanglah sesuatu agar aku dapat menikmatinya di kemudian hari. Dia banyak memotivasikan diriku. Aku begitu hormat padanya..walau kami tidak pernah bersua muka, ternyata dia begitu bersemangat untuk melihat orang lain berjaya seperti dirinya.

Apa yang penting bagiku menemui seseorang yang begitu positif dalam dirinya akan memberi manafaat kepada diri aku. Aku tidak ingin ketinggalan lagi...aku buang segala kesedihan aku. Apa yang aku mahu...aku ingin melangkah ke tahun baru dengan penuh semangat. Kepada lelaki itu kiranya dia membaca tulisan aku........TERIMA KASIH YANG TIDAK TERHINGGA DARI AKU.....JEE FAUZI

Cerita Cinta

Ingin ku berkongsi bersama pembaca blog ini........satu cerita mengenai cinta

Menjadi seorang balu bukan satu perkara yang mudah dan amat menggugat keimanan diri. Aku hanyalah insan kerdil...aku ingin bercinta dan dicintai. Kadang-kadang aku takut pada diriku sebab aku hilang kawalan diriku sendiri disaat-saat aku mengharungi kepedihan hidup aku perlu seseorang untuk berkongsi cerita dan masalah agar aku dapat menghilangkan keresahanku. Kepada Tuhan tempat aku mengadu, di dalam solatku aku menitiskan air mataku yang terlalu mahal untuk mengalir walau macam mana payah jerihku. Aku adalah insan yang amat sukar menitiskan air mata. Di saat aku tenang ... aku dapat pula mengalirkan air mataku..anehkan diriku.

Aku temui pelbagai cinta...cinta datang sekejap..sekejap. Aku tahu apa yang aku mahu dalam diriku. Kadang-kadang aku tersenyum sendirian bila mengenangkan cerita cinta aku....pelbagai manusia hadir dalam diri aku...dan tidak seorang pun yang dapat melembutkan hati aku. Malah membuat aku terus meluat...adakah aku tidak memberi ruang & peluang untuk mereka merebut cinta aku! Aku tidak mahu terjerumus dalam cinta terlarang....bercinta dengan suami orang lain. Aku pernah menjadi seorang isteri.............dan aku tahu bagaimana kesedihan hati seorang isteri bila mengetahui suaminya mempunyai cinta terlarang. Aku bukan seorang perampas & merebut cinta orang lain semata-mata untuk kepentingan diriku.

Aku pernah bertanya pada seorang lelaki yang bergelar suami........kenapa harus ada cinta terlarang. Dia memberitahuku itu bukan satu kesalahan.... aku terpinga-pinga. Aku terus mengasak lelaki itu....dan jawapannya ..... jangan salahkan diri bila mendapat suami orang kerna kiranya lelaki itu dapat memberi kebahagiaan kepada kamu...kamu tetap mendapat tempat di hatinya. Percayalah bahwa berkahwin dengan suami orang bukan satu kesalahan....berdebar-debar hatiku mendengar jawapannya itu....dan aku percaya bila wanita yang telah bergelar isteri sudah tentu terbakar hatinya bila mendengar jawapan sebegini....bagiku tepuk dada tanya selera....

Aku pernah dipaksa oleh seorang lelaki untuk menerima cintanya....aku bertemu dengannya atas urusan kerja. Baru beberapa kali bertemu lelaki itu terus meminta cintaku. Ku katakan padanya...carilah orang lain sebab aku cuma seorang balu..ramai lagi gadis-gadis di negeri ini yang jauh lebih baik dariku. Betapa susahnya aku menerangkan pada lelaki ini...tapi dia terus berdegil memaksa aku menerima cintanya...G.I.L.A...itulah yang ada dalam fikiranku ketika itu. Lantaran itu...dia memberitahu kepadaku bahwa dia telah mempunyai segala-galanya di dalam kehidupan..rumah sendiri, kereta mewah cuma yang tiada hanyalah seorang permaisuri. Aku menolak cintanya...bagiku cinta itu bukan boleh dipaksa dan diperdagangkan. Aku bukan memandang harta.........AKU BUKAN MATRADE....dan aku tidak tahu apa yang berlaku pada lelaki itu.

Aku teruskan kehidupanku seperti biasa.......tiba-tiba diriku menerima kejutan lagi...aku dicintai oleh seorang orang G.I.L.A...lelaki ini memang gila..bukan gila buat-buat tapi gila betul. Aku takut berhadapan dengannya. Rakan sekerjaku yang tidak waras....memang kesian! Dia menjadi sebegitu kerna seorang wanita juga, dan kini dia telah dimasukkan ke hospital gila. Pelbagai ucapan dilafazkan didepanku dari sebaik-baik perkataan hingga seburuk-buruk perkataan...Nasiblah badan

Kini aku meneruskan kehidupanku..bertemu lelaki yang lebih muda dariku, lelaki yang berumahtangga, lelaki yang miang dan bermacam-macam lagi jenis lelaki. Bagiku itu semua kuasa Allah.....dan aku akan biarkan cinta itu datang dengan sendirinya bukan dari kisah-kisah aku sebelum ini. Bukan aku ingin menyalahkan mana-mana lelaki......kerna hidup kita mesti berpasangan. Tiada siapa yang harus dipersalahkan dalam cerita cinta ini...cuma cerita ini merupakan satu lumrah alam yang harus dilalui. Semua manusia mempunyai watak dan karekter yang berbeza-beza. Semakin lama aku mengenali manusia...semakin aku memahami kehidupan ini.........

Mencari Sinar Bahagia 2009


2008 bakal berlaku pergi......

2009 akan menyusul nanti......

Aku, Jee Fauzi ..... harus bangkit dari kesedihan lalu..ingin mencari satu sinar bahagia di tahun baru bakal menjelma. Aku berdoa tiada lagi duka dalam hidupku. Namun Allah Maha Mengetahui Segala-galaNya...Aku susuri tahun ini dengan pelbagai dugaan dan rintangan. Tidak ku sanggup untuk ku harungi lagi, dari awal tahun hingga ke akhir aku diduga maha dasyatnya....Tiada ku sangka ini takdirku....kehilangan suami di awal tahun, aku menderita sehingga aku dapat bertukar ke kampung halamanku...ku harap tiada lagi duka..Aku diuji sekali lagi..tidak dapat kunyatakan di sini betapa pilunya hatiku...kesihatanku sering terganggu .... apa yang terpendam di hati hanya Tuhan Maha Tahu. Pelbagai kesedihan aku lalui..aku hilang semangat untuk meneruskan kehidupanku kini.

Manusia disekelilingku hanya melihat senyumanku...kerna mereka tidak mengetahui di sebalik senyumanku ada duka yang terpendam di hati...aku sering tertawa untuk menghilangkan kesedihanku. Aku mengawal emosi diri, aku tidak ingin tertewas. Status diriku menjadi mainan kini.......pelbagai ragam manusia kutemui...apa yang ku tahu ku harus menguatkan keimananku. Kadang-kadang aku tidak mengetahui apa yang mereka inginkan dariku........samaada mereka ikhlas atau sengaja mempermainkan perasaanku...aku berserah!

Ku teruskan perjalanan hidup aku kini...apa yang akan terjadi di depanku aku terima dengan redha....Tahun 2009 akan kumulakan kehidupan baruku sebagai seorang pelajar "outcampus". Aku mengambil keputusan untuk menyambung kembali pelajaranku kerna aku percaya tiada yang terbaik untuk diri manusia selain ilmu di dada. Aku tidak perlukan harta yang melimpah ruah kerna itu hanyalah sementara. Aku harus mengubah nasib diriku sendiri...dan akhirnya aku berjaya menempatkan diriku di Universiti Terbuka Malaysia. Kedua ibubapa ku amat gembira dengan keputusanku...dan mereka percaya itulah yang terbaik buat diriku. Aku mengambil kesempatan ini kerna aku hidup keseorangan tanpa kehadiran suami dan anak-anak. Apa yang ada padaku hanyalah keluarga....serta sahabat-sahabat yang sentiasa di sisi.

Ingatkan pada arwah suami masih segar diingatan....namun aku sering memarahi diriku supaya tidak terus melayan perasaan sehingga aku bersedih lagi...apa yang ku tahu aku ingin mengubah nasib diriku..........aku ingin terus berjaya, berjaya, berjaya dan berjaya. Aku tidak ingin terus menjadi seorang setiausaha lagi ..........kerana aku percaya satu hari nanti aku akan mempunyai seorang setiausaha yang akan memberi khidmatnya seperti apa yang aku lakukan kini......